Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah, LEDANG

Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah ditubuhkan pada tahun 1940 di Parit Medan, Kundang Ulu, Ledang. Pengasasnya ialah Allahyarham Datuk Kiyai Haji Shamsuddin Reduan atau dikenali sebagai Kiyai Shamsuddin.

Datuk Kiyai Shamsuddin dilahirkan pada tahun 1911 di Kepet, Madium, Jawa Timur, Indonesia. Pada tahun 1937, Kiyai Shamsuddin berhijrah ke Tanah Melayu dan  menetap di Kampung Parit Raja, Gersik, Ledang. Beliau pernah menerima anugerah Ahli Mangku Negara (AMN) dari Yang Dipertuan Agong, serta dianugerahkan Bintang Seri Paduka Mahkota Johor (SMPJ) yang membawa gelaran Datuk. Hasil tulisan beliau ialah Perhimpunan Selamat dan Hikmathikmatnya serta Panduan Beribadah.

Antara mudir yang pernah berkhidmat di sini ialah Haji Tahir Hayat (1977 − 1989), Haji Ismail Ahmad Annuar (1989 – 1998), Haji Mohd Taufik Datuk Kiyai Shamsuddin (1998 –1999) dan Haji Mohd Samsi Hussin sejak tahun 1999. Haji Mohd Samsi Hussin mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Melayu Tanjung Karang, Selangor. Beliau turut mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Tanjung Karang, Selangor; Sekolah Arab Al-Ahya Assyarif Ulu Semanggul, Perak; dan Madrasah Al-Junad Islam di Singapura. Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Falsafah dan Diploma Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pondok yang didaftarkan di bawah Jabatan Agama Negeri Johor ini mempunyai 304 pelajar yang mengikuti pengajian Umumi, Nizami dan kurikulum pondok. Seramai 31 guru diamanahkan mengajar Feqah, Tafsir, Hadis, Sejarah Islam, Tauhid, Ilmu Aufat, Faraid, Usul, Balaghah, Soraf, Tajwid, Akhlak, Sirah dan Mantiq.

Antara bekas pelajar yang berjaya ialah Dr Mahfodz Mohamed (bekas pensyarah Universiti Malaya), Datuk Mohd Tahrir Datuk  Shamsuddin (Mufti Johor) dan Amir Danuri (Ketua Hakim Syarie Negeri Johor).

Untuk Dihubungi:

Tel: 06-9728 200
E-mel: shamsuddiniah@gmail.com
Laman web: www.smashamsuddiniah@wordpress.com