Penyelewengan Syiah

Share this Article

Author:

Susunan: Mohd Zulhairie

Perbezaan pendapat di kalangan umat Islam dalam cabang syariah atau perundangan Islam dianggap satu rahmat kerana di sebalik perselisihan pendapat ini telah membawa kepada pertemuan, perbincangan dan perbahasan di antara alim ulama yang pakar dalam bidang tersebut sehingga satu keputusan dapat dibuat.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat dalam bidang akidah dan usul syariah lebih cenderung kepada malapetaka serta peperangan saudara umat Islam. Ia mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam yang tidak diinginkan oleh Rasulullah SAW dan seluruh umat Islam. Demikianlah kewujudan fahaman Syiah telah menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Latar belakang Syiah

Syiah Imam Dua Belas (Ja’fariyah): Kumpulan ini adalah golongan Syiah yang terbesar di Iran dan merangkumi hampir 60 peratus daripada penduduk Iraq. Golongan ini juga menjadi kumpulan minoriti di beberapa buah negara seperti Pakistan, Afghanistan, Lebanon dan Syria.

Syiah Zaidiyah: Kumpulan yang dikenali dengan nama Syiah Imam Lima dan ia berkembang di Yaman dan hampir 40 peratus daripada penduduk negara itu adalah pengikut Syiah Zaidiyah.

Syiah Ismailiyah: Kumpulan ini mempunyai Imam Tujuh dan pengikutnya dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika.

Faktor-Faktor Kemunculan Fahaman Syiah

Kewafatan Rasulullah SAW: Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa Saidina Ali lebih berhak menjadi imam lalu berpihak kepadanya. Pendapat ini juga dipegang oleh sebahagian puak Syiah dengan penafsiran khas mereka sendiri. Sementara selain Syiah pula mengaitkan pendapat ini dengan pandangan yang mengatakan bahawa talian darah dengan Rasulullah SAW lebih berhak menjadi khalifah selepas Rasulullah SAW.

Kemunculan pergerakan Abdullah Bin Saba’ dipenghujung zaman Uthman RA: Abdullah Bin Saba’ adalah seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah Al-Sabaiyah yang merupakan golongan Syiah pelampau. Dia telah memeluk Islam pada zaman Uthman RA dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam.

Pergerakan Siffin dan majlis Tahkim: Reaksi kepada puak Khawarij yang menentang Saidina Ali RA dalam peristiwa Tahkim. Mereka melaungkan bahawa imam itu adalah hak umum bagi semua kaum muslimin tanpa wujud keutamaan antara orang Arab dengan bukan Arab dan antara bangsa Parsi atau Habsyah. Puak Syiah dalam keadaan itu menjadikan imam hak di kalangan ahli bait Rasulullah SAW sahaja dari keturunan Saidina Ali RA.

Pembunuhan Hussein RA: Selepas peristiwa menyayat hati ini, lafaz Syiah mula digunakan untuk merujuk kepada mereka yang menyokong Saidina Ali RA dan keturunannya.

Kesimpulannya: Sebahagian prinsip akidah bagi Syiah telah lahir pada tangan Abdullah Bin Saba’, tetapi tidajk timbul secara berkumpulan. Hanya selepas berlaku peristiwa di atas, terutama selepas pembunuhan Hussein RA, Syiah mula muncul sebagai suatu kumpulan yang berkembang berdasarkan prinsip-prinsip tertentu yang dilontarkan oleh Ibnu Saba’ dalam suasana pemikiran bagi puak Syiah ketika itu.

Syiah di Malaysia

Syiah di Malaysia merupakan satu kelompok pecahan dari umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10 peratus dari seluruh umat Islam di dunia. Di Malaysia terdapat tiga kumpulan Syiah yang berkembang sejak beberapa tahun yang lalu, iaitu:

Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra): Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki Kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Kelang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan seramai 200 hingga 400 orang.

Syiah Ismailiyah Agha Khan: Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Kelang. Jumlah pengikut tidak diketahui, tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompok Bohra.

Syiah Ja’fariyah @ Imamah Ithna Assyariyyah (Imam Dua Belas): Kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

Fahaman Syiah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syiah Ja’fariyah secara serius kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi.

Penyelewengan Fahaman Syiah

Penyelewengan dari sudut akidah:

  • Khalifah diwasiatkan secara Nas.
  • Imam adalah maksum.
  • Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.
  • Kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan.
  • Berpura-pura iaitu menyatakan dengan lisan yang menyalahi hati kerana takut kemudaratan diri walaupun yang disembunyikan itu perkara yang benar.
  • Konsep Al-Mahdiah iaitu kepercayaan kepada Muhammad bin Hassan al-Askari sebagai imam Mahdi al-Muntazar.
  • Penyanjungan yang keterlaluan kepada Saidina Ali RA.
  • Menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy serta pengikut-pengikut mereka adalah musuh Allah.
  • Hanya Ali dan para imam sahaja yang menghafal dan menghimpun al-Quran dengan sempurna.
  • Menambah nama Saidina Ali RA dalam syahadah.
  • Menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis Mutawir.

Penyelewengan dari sudut syariat

  • Menolak Ijmak Ulama.
  • Menolak Qiyas.
  • Menghalalkan nikah mutaah (akad nikah dengan tempoh tertentu).
  • Menjamakkan solat tanpa alasan tertentu iaitu Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.

Pelbagai Penyelewengan Umum

  • Menziarahi kubur Saidina Hussein, ganjarannya syurga.
  • Menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram bagi menangisi kematian Saidina Hussein.
  • Menghina isteri-isteri nabi SAW.
  • Mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab.
  • Imamah dan Khalifah sebahagian daripada rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas.
  • Sembahyang Dhuha adalah bidaah.
  • Islam bukanlah syarat wajib Haji.
  • Wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai hanya dengan membasuh kedua-duanya.

Kitab-Kitab Syiah

Note: Awas! terdapat beberapa kitab utama Syiah yang telah cuba disebarkan ke seluruh negara, antaranya:

  1. Meniti Titian Kebenaran: Menyingkap Kebenaran Mazhab Rasul dan Ahlul Bait.
  2. Inilah Khulafa Ar-Rasyidin.
  3. Akhirnya Ku Temui Kebenaran.
  4. Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Yang Sebenar.
  5. Benarkah Salafi Wahabi Pemusnah Islam dan Pembunuh Umatnya.
  6. Kewajiban Setiap Muslim Mentaati Kepimpinan Yang Dilantik Allah dan Rasul Demi Perpaduan dan Kejayaan Dunia dan Akhirat.
  7. Perpaduan Islam Sumber Kekuatan Ummah, Cela-mencela Merungkai Perpaduan.
  8. Aqidah Syiah Yang Dicemuh oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah Khususnya As-Salafi.
  9. Memorandum Majlis Syiah Malaysia bertarikh 6 Jun 2011.

Diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Leave a Reply



+ 6 = fifteen